Tarikh PRN Johor 2022

Tarikh PRN Johor 2022

Spread the love

Tarikh PRN Johor 2022

Ekoran pembubaran DUN Negeri Johor yang berlaku pada Sabtu lepas setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebuah Pilihan Raya Negeri akan diadakan dalam masa yang terdekat. Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti Hari Penamaan Calon dan Hari Pengundian.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, selain itu pihaknya akan membincangkan tarikh writ pilihan raya dan daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Katanya lagi, SPR secara rasminya telah menerima notis daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berhubung pembubaran DUN Johor penggal ke-14 pada 23 Januari sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut.

“Sehubungan itu, satu mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya DUN Johor Ke-15 akan diadakan pada 9 Februari. Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh membincangkan tarikh-tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut berlangsung.

PRN Johor diadakan selepas DUN dibubarkan selepas diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar setelah Baginda menerima menghadap Menteri Besar, Datuk HasnI Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan hanya menguasai 28 DUN manakala Pakatan Harapan pula 27 kerusi daripada 56 DUN. 

Berikutan pembubaran ini, setiap parti yang bertanding akan mengemukakan senarai calon-calon yang dilihat berpotensi menawan hati rakyat Johor. Berdasarkan perkembangan semasa, beberapa parti sudah memberikan petunjuk berkenaan senarai calon yang bakal dipertaruhkan.

Bagi pihak UMNO, mereka sudah mempunyai senarai calon untuk bertanding di dalam PRN Johor kali ini seperti dimaklumkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika ditemui di Bangunan Perhubungan UMNO Johor pada 22 Januari lepas.

Manakala, bagi pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mereka dijangka akan membuat pengumuman mengenai calon yang diletakkan pada minggu depan.

Walau bagaimanapun, pembahagian kerusi di antara parti gabungan di bawah Perikatan Nasional (PN) bagaimanapun masih belum dimuktamadkan lagi. Yang pastinya, PN akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Johor.

Pihak Pakatan Harapan (PH) pula seperti yang dimaklumkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka akan bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang. Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata, pihak PH membuka ruang kepada semua parti pembangkang untuk bertanding di bawah PH bagi menentang UMNO dan Perikatan Nasional (PN).

Dan yang terakhir, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) pula akan bertanding secara sendirian dengan meletakkan 42 calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Tarikh PRN Johor 2022

Tarikh rasmi PRN Johor belum diumumkan buat masa kini. Dijangka akan diumumkan selepas mesyuarat khas oleh pihak SPR pada 9 Februari ini. Pihak kami akan mengemaskini maklumat ini dari masa ke semasa secara langsung apabila tarikh rasmi PRN Johor ini diumumkan oleh pihak SPR. Untuk mendapatkan maklumat awal berkenaan tarikh rasmi PRN Johor 2022 ini, sila join channel telegram kami di sini : https://t.me/rumahlejen

Baca juga artikel berkenaan : Senarai Calon PRN Johor 2022

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *